Terdapat nas-nas yang sahih berkaitan dengan kelebihan 10 hari pertama Zul Hijjah. Antaranya:
1. Allah bersumpah dengannya. Apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, itu menunjukkan kelebihan dan kemuliaannya di sisi Allah. Allah berfirman: “Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);” (Al-Fajr 89:1-2). Majoriti ahli tafsir berpendapat bahawa maksud “malam yang sepuluh” dalam ayat itu ialah 10 pertama Zul Hijjah. Ibn Kathir menyebut beberapa pendapat yang berbeza. Namun beliau menyimpulkan bahawa inilah, iaitu 10 awal Zul Hijjah yang sahih.
2. Hari-hari maklumat yang disyariatkan supaya membanyakkan zikir, mengingat dan menyebut-nyabut Nama Allah. Allah SWT berfirman maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada HARI-HARI YANG TERTENTU,..” (Al-Hajj 22:28) Hari-hari tertentu (Ayyam Maklumat) dalam ayat ini, menurut majoriti ulamak termasuk Ibn Umar dan Ibn Abbas adalah 10 pertama Zul Hijjah.
3. Persaksian Rasul sendiri bahawa 10 hari ini merupakan hari paling afdhal di dunia. Daripada Jabir RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Hari-hari di dunia yang paling afdhal ialah 10 hari pertama Zul Hijjah…” Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban. Al-Albani berkata statusnya adalah sahih.
4. Padanya terdapat Hari Arafah. Hari Arafah adalah hari haji akbar, hari maghfirah daripada dosa-dosa, hari pembebasan dari api neraka. Andainya tidak ada kelebihan lain dalam 10 hari ini selain hari Arafah, itu sudah mencukupi.
5. Padanya terdapat Hari Nahar. Hari Nahar adalah hari paling afdhal dalam satu tahun menurut sebahagian ulamak berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud: “Hari paling agung di sisi Allah ialah hari Nahar, kemudian hari Qarr (hari tasyriq yang pertama, iaitu 11 Zul Hijjah)” Riwayat Abu Daud dan al-Nasae. Al-Albani berkata statusnya adalah sahih.
6. Berhimpun padanya pelbagai ibadah utama yang disebut sebagai Ummahat al-ibadah. Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda maksudnya:
“Amal soleh yang paling Allah sukai dilakukan oleh hamba-Nya ialah amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (10 pertama Zul-Hijjah)”, mereka bertanya: “Ya Rasulullah, adakah Allah lebih suka daripada berjihad fi sabilillah?” Baginda menjawab (maksudnya): “Ya, tidak dapat mengatasi jihad fi sabillah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)” Sunan Ibn Majah.
APAKAH PERSEDIAAN KITA UNTUK MENYAMBUTNYA?
Kedatangan tetamu yang hebat, pastinya disambut dengan persediaan yang sepadan dengannya.
Pertama, tanamkan azam dengan sungguh-sungguh, niat yang benar untuk memanfaatkan hari-hari terbaik ini dengan amalan-amalan yang terbaik demi meraih redha Allah SWT.
Kedua, betaubat dari segala dosa kerana orang yang bertaubat dijanjikan Allah akan memeperoleh kejayaan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “… dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (An-Nuur 24:31)
Ketiga, jauhi maksiat yang lahir dan yang tersembunyi kerana maksiat adalah sebab utama yang menjauhkan seseorang hamba dari Rabbnya.
AMALAN-AMALAN YANG DISARANKAN
Dengan rahmatNya Allah anugerahkan kita hari-hari yang Dia paling suka kita beramal untuk mendekatkan diri kepadaNya. Maka berusahalah untuk mengisi hari-hari tersebut dengan pelbagai amal sama ada yang wajib atau sunat seperti:
1. Menyempurnakan manasik haji dan umrah. Ini khusus bagi mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah.
2. Puasa. Boleh dilakukan mulai 1 hingga 9 hari bulan. Sekiranya tidak dapat dilakukan daripada awal, usahakan supaya dapat ditunaikan pada hari ke 9, iaitu hari Arafah. Kelebihannya dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) menghapuskan dosa setahun yang lalu” Riwayat Muslim.
3. Solat. Tidak diragukan lagi kelebihan solat yang merupakan rukun Islam yang pertama selepas syahadah. Selain solat fardhu banyak solat-solat sunat yang digalakkan sama ada siang atau malam.
4. Banyakkan zikir seperti takbir, tahmid, tahlil dan sebagainya. Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah selain daripada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah, dan tidak ada amalan yang paling Dia suka dilakukan selain daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah. Maka hendaklah kamu membanyakkan TAHLIL, TAKBIR dan TAHMID pada hari-hari tersebut.” Musnad Ahmad
5. Sedekah. Sedekah adalah tanda syukur atas ni’mat yang dianugerahkan Allah kepada kita di samping mengharapkan keampunan serta dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta sedikitpun” Riwayat Muslim.
6. Korban. Disunatkan pada hari ke 10, 11, 12 dan 13.
“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar ialah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan-haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk-tanduk, kuku-kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka laksanakanlah korban dengan sepenuh hati mu”. Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi
7. Banyak lagi amalan-amalan yang baik yang boleh diusahakan seperti menuntut ilmu dan mengajarkannya, menguhubungkan silatul rahim, menyebarkan salam, menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan, mendamaikan dua pihak yang bermusuhan, menyantuni ahli keluarga, jiran tetangga dan lain-lain.
8. Setiap orang ada medannya dan ada kewajipan yang khusus baginya yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Justeru, sempena hari-hari terbaik ini berusahalah sedaya mampu untuk melaksanakan kewajipan dengan penuh amanah, ikhlas, selari dengan tuntutan syariah. Ingatlah bahawa sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain. Daripada Ibn Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasul Allah dan bertanya: “Ya Rasul Allah, siapakah manusia yang paling dikasihi Allah?” Baginda menjawab: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah yang paling bermanfaat kepada manusia. Dan amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hulurkan kepada seorang muslim. Engkau ringankan bebanan kesusahannya, atau lunaskan hutangnya, atau hilangkan kelaparannya. Sesungguhnya seandainya aku berjalan bersama seorang saudara untuk memenuhi satu keperluannya lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid ini, iaitu masjid Madinah selama sebulan.” Riwayat al-Tabrani.
IKredit artikel: Ustazah Maznah Daud