PETUA-PETUA TRADISIONAL ORANG LAMA

 ELAK KENCING MALAM UNTUK ANAK KECIL 
Perahkan sedikit air lemon di atas sesudu kecl madu lebah dan terus hirup. Amalkannya disebelah pagi dan sebelum masuk tidur. Mudah-mudahan, anak kecil anda akan berhenti kencing malam atau setidak-tidaknya dapat mengurangkan jumlah dia buang air kecil.

 TEPUNG UBI PENAWAR RUAM 
Cara yang baik untuk menghindarkan ruam dari tubuh bayi anda ialah dengan melumurkan tepung ubi selepas mandi. Pastikan bahagian-bahagian utama yang menjadi sasaran serangan ruam seperti di leher, punggung dan dada di lumur.

 UBATI SAKIT DADA 
Ambil beberapa ulas halia. Tumbuk hingga lumat dan perahkan airnya. Ambil satu biji telur ayam kampung. Keluarkan kuningnya sahaja. Campurkan bersama madu lebah tulin. Kacau rata-rata dan minum setiap pagi sebelum sarapan.

 HILANGKAN URAT DI KAKI 
Bagi ibu-ibu yang mengandung mereka sering mengalami masalah urat timbul di kaki dan ia berlarutan hingga bersalin. Di sini, ada satu petua untuk mengatasi masaalah ini, ketika tidur anda mesti meletakkan kaki lebih tinggi dari kepala. Atau ambil sebesen air suam, rendamkan kaki anda selama 15 hingga 20 minit setiap hari. Lakukan hingga anda memperolehi hasil yang memuaskan. Atau, anda boleh mengurutnya perlahan-lahan dengan menggunakan minyak urut.

 RASA GARAM DALAM MASAKAN 
Untuk merasa garam dalam masakan memang menjadi masalah terutama jika anda berpuasa. Bagaimana cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dengan meletakkan kuah di atas jari anda. Jika kuah itu tidak meleleh ia menandakan masakan anda cukup masin tetapi jika jari anda merasa perit ini menandakan masakan anda terlebih garam.

 SIMPAN KELAPA PARUT 
Masukkan kelapa dalam tapisan. Letakkan di atas periuk yang berisi air panas. Biarkan wap itu masuk ke dalam kelapa.

 GARAM UBATI SAKIT GIGI 
Sakit gigi memang amat menyeksakan.Apa lagi kalau terkena di tegah malam. Hendak ke klinik mungkin klinik tutup. Jadi anda terpaksa menanggung sakit sampai ke pagi. Kerana itu berikhtiarlah sebelum sakit gigi menimpa anda. Petua ini elok dilakukan bagi menghindar dari terkena sakit gigi. Caranya, campurkan sedikit garam halus pada ubat gigi apabila hendak menggosok gigi setiap pagi. Jika ini diamalkan, anda bukan sahaja dapat menghindarkan diri dari sakit gigi dan mulut, malah gigi anda juga akan menjadi lebih putih dan berseri.

 MULUT BERBAU 
Mulut berbau tentu menimbulkan masalah apabila hendak bercakap dengan seseorang. Untuk mengatasinya, cuba ikut petua ini. Ambil tujuh helai daun sirih. Racik halus, kemudian diramas dengan semangkuk air suam. Campurkan sedikit garam, kumurlah setiap hari dengan air itu. Insya-Allah masalah mulut berbau akan dapat diatasi.

 TUMIT KAKI TIDAK PECAH 
Bagi anda yang menghadapi masalah ini, boleh mencuba petua ini. Ambil sebiji buah betik yang masih muda. Hiriskan di bahagian hujungnya agar mengeluarkan getah. Sapukan getah betik tersebut ke bahagian tumit yang pecah. Lakukan berulang kali beberapa hari jika ingin mendapat hasil yang memuaskan.

 HILANGKAN DARAH TINGGI 
Jika anda menghidap sakit darah tinggi,ambillah daun kucai kira-kira seikat. Bersihkan dan tumbuk dengan sedikit garam. Perah ambil airnya, bubuh dalam mangkuk dan embunkan. Minumlah pagi-pagi sebelum makan apa-apa, Insya-Allah sembuh. Kalau sekali minum tidak sembuh, jangan berputus asa. Cuba dan cuba lagi. Selalunya penyakit tidak akan sembuh dengan sekali berubat. Kerana itu cubalah amalkan banyak kali, bersabar dan bertawakal.

No comments:

Post a Comment