biji kopi |
Di sebalik penangan kopi, tahukah anda kambing adalah makhluk pertama yang mula-mula menjumpai kopi
Menurut rekod,sejarah penemuannya bermula di Ethiopia sekitar abad ke-11. Ketika itu, seorang penggembala kambing berasa hairan melihat tingkah laku ternakannya yang begitu aktif selepas makan sejenis buah beri berwarna merah. Melihat keadaan itu, dia lantas melakukan uji kaji ke atas buah berkenaan dengan merebus dan meminum airnya. Ternyata, air rebusan itu menjadikan tubuhnya lebih bertenaga dan segar. Maka terhasillah 'qohwah'
Sekian lama kopi berada di negara terbabit, ia kemudiannya dibawa ke Yaman sekitar abad ke-14. Di sana, minuman ajaib itu menjadi sangat terkenal dalam kalangan ahli sufi. Mereka menjadikan minuman itu sebagai alternatif terbaik untuk kekal cergas ketika melakukan ibadah-ibadah khusus pada satu pertiga malam. Sepanjang tempoh itu, kopi tidak dijual, ia hanya ditanam untuk kegunaan sendiri. Sehingga abad ke-15, kopi kemudiannya dibawa masuk ke Mekah dan juga Turki.
Revolusi kopi mula berlaku di Istanbul. Orang-orang Turki telah memperkenalkan satu kaedah 'bru' untuk membuat kopi menjadi lazat. Mereka memanggang biji kopi dan mengisarnya untuk rasa yang lebih pekat. Rasanya jauh lebih sedap daripada kaedah rebusan tradisional yang digunakan hampir 4,000 tahun. Orang- orang Istanbul juga turut menukar nama qohwah kepada 'kahve' mengikut keupayaan lidah bangsa mereka. Istanbul juga turut menjadikan kopi sebagai minuman utama di mahkamah hingga tertubuhnya jawatan pembuat kopi.
Sehingga kurun ke-17, rumusan tentang kesedapan kopi mula meresap ke seluruh Eropah. Bermula dengan Venice sekitar tahun 1615, air kopi mula dijual di kaki-kaki lima. Disebabkan kopi mampu menjadikan seseorang lebih bertenaga, kedai-kedai kopi mula menjadi tumpuan ilmuwan-ilmuwan, golongan pemikir, penyair, saintis, orang-orang ternama dan ramai lagi individu hebat. Dari situlah wujudnya kedai kopi yang menjadi tumpuan untuk membincangkan isu-isu semasa sebagaimana kita lihat pada hari ini.Tengok saja di kampung-kampung, kedai kopi pasti penuh.
Kemudian, sekitar tahun 1669, kopi turut dibawa masuk ke Paris. Dari perkataan qohwah ke kahve. la diubah lagi menjadi Cafe. Istilah ini juga mengikut pelat lidah budaya mereka. Kemudian, ia ditukar lagi kepada Coffee setelah masuk ke London. Juga mengikut keupayaan lidah bangsa mereka. Nama akhir bagi coffee itu terus diguna hingga ke hari ini dan tidak lagi diubah.
Sejarah kewujudan kopi tidak terhenti setakat di London. Menurut rekod, sekitar tahun 1683, kopi 'tiba-tiba' muncul di Vienna, la bukan dibawa masuk untuk didagangkan sebaliknya kopi ditinggalkan oleh tentera-tentera Turki setelah keluar dari Vienna. Orang-orang Austria tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan 500 guni biji kopi yang ditinggalkan hingga ada cadangan untuk membuang saja ke dalam laut. Mereka menyangka biji kopi hanyalah makanan haiwan ternakan musuh mereka.
Walaubagaimanapun, seorang mata-mata daripada bangsa Austria mendapat tahu tentang berita itu Dia yang pernah ditugaskan mengintip tentera-tentera Turki satu masa dulu sangat sinonim dengan kopi. Lalu, meminta biji-biji kopi berkenaan untuk dijadikan minuman dan diberi kepada semua orang secara percuma. Sejak itu, kopi menjadi terkenal dan dinikmati oleh semua masyarakat di negara itu.
Dalam 'banyak-banyak' sejarah kemunculan kopi di Eropah, kemasukan kopi ke Belanda paling unik. Orang-orang Dutch memang hebat. Mereka dapat mengagak bahawa kopi boleh memberi pulangan lumayan kepada mereka satu hari nanti. Mereka kemudiannya menjadikan biji kopi sebagai barang dagangan paling bernilai berbanding minuman. Kopi mula-mula masuk ke negara itu sekitar abad ke-17dari Yaman.
Jika anda masih ingat sejarah pendudukan Belanda di Sumatera, tentu anda akan berjumpa dengan kopi. Kedatangan Belanda ke rantau Indonesia adalah bersama kopi. Mereka membawa biji kopi untuk ditanam di kepulauan Jawa. Dari situlah ia diperkenalkan ke negaranya sendiri serta beberapa buah negara lain. Bagaimanapun, kopi di Belanda tidak dijual di kaki-kaki lima sebaliknya ia dijual secara eksklusif di kedai bertaraf lima bintang dan hanya dinikmati oleh ahli-ahli perniagaan. Beberapa tahun kemudian, ia dibawa masuk ke Amerika dan negara-negara lain melalui perdagangan.
No comments:
Post a Comment